Penjaga gol Manchester United, David de Gea, percaya pemain tengah, Paul Pogba, akan kembali bangkit susulan aksi hambar ketika berdepan Liverpool.

Pemain Perancis itu dikecam kerana gagal beraksi dengan baik dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 di Old Trafford, Ahad lalu.

Dia turut menjadi punca Liverpool dianugerahkan sepakan penalti yang disempurnakan James Milner.

De Gea, yang turut bergelut di England selepas berhijrah dari Atletico Madrid pada 2011, berkata pemain termahal dunia itu akan bangkit lebih mantap dalam perlawanan seterusnya.

"Dia sangat penting buat kami. Dia seorang pemain tengah yang hebat, dan cukup baik di dalam bilik persalinan," De Gea memberitahu Sky Sports.

"Di peringkat awal, apabila kamu sedang cuba membiasakan diri dengan negara baru, ia agar sukar. Kamu perlu berlatih bersungguh-sungguh dan percaya kepada diri sendiri.

"Pada awalnya, saya turut bergelut. Tetapi saya terus mempercayai diri saya dan terus berjuang.

"Di negara mana sekalipun, setiap pemain akan melakukan kesilapan. Kami manusia biasa, itu perkara normal."