Paul Pogba berkata "sesuatu harus diubah" di Manchester United berikutan keputusan seri ketiga berturut-turut diraih mereka dalam Liga Perdana Inggeris.

Skuad Jose Mourinho itu diikat 0-0 oleh Southampton di laman sendiri semalam, keputusan yang membolehkan Chelsea melonjak mengatasi mereka di tangga kedua liga.

United seri tiga perlawanan berturut-turut selepas tewas 2-1 kepada Bristol City dalam suku akhir Piala EFL pada 21 Disember lalu, sekali gus bulan tersebut dianggap sebagai tidak menjadi buat The Red Devils.

Pogba menggesa rakan sepasukannya agar "bangun" dan pergi ke Everton esok dengan tekad mahu mengembalikan rentak kemenangan.

"Sudah tentu kami mahu menang," katanya kepada MUTV. "Kami seri lagi. Kami tidak kalah tetapi kami perlu bangun dan kembali kepada rentak kemenangan. Kami perlu menang, ada yang perlu diubah dan kami perlu berubah untuk menang.

"Kami perlu berehat. Ia hanya satu hari dan kami perlu bermain menentang Everton -- itulah bola sepak. Kami perlu ke sana untuk menang."

Kekecewaan United bertambah dengan kehilangan Romelu Lukaku akibat kecederaan kepala, dengan Mourinho menjangkakan pasukannya akan beraksi tanpa penyerang itu untuk sekurang-kurangnya dua perlawanan berikutnya.

Pogba mengakui kehilangan pemain antarabangsa Belgium itu adalah satu tamparan besar tetapi berkata United mempunyai kekuatan bagi mengatasinya.

"Apabila kami mempunyai Romelu, dia memberikan kesukaran kepada pertahanan dan mencipta banyak ruang," katanya. "Kami cukup terasa dengan kehilangannya tetapi kami mempunyai keupayaan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Romelu."