Mauricio Pochettino berpendapat Arsene Wenger mungkin menjadi pengurus terakhir dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mengendalikan sebuah kelab selama satu generasi.

Wenger merupakan pengurus paling lama berkhidmat sejak tiba di Arsenal pada 1996.

Hanya Eddie Howe dari Bournemouth dan pengurus Burnley, Sean Dyche, bertahan lebih dari lima tahun sementara Pochettino pula sudah berkhidmat di Tottenham Hotspur selama tiga tahun setengah, lalu menjadikannya pengurus keempat berkhidmat paling lama dalam EPL.

Pochettino, yang bercakap menjelang 'derby' London utara di antara Tottenham dan Arsenal hari ini, menganggap sikap terburu-buru pemilik kelab akan membuat seseorang pengurus itu tidak akan dapat mengulangi pendekatan Wenger.

"Sukar untuk menjadi Wenger," kata Pochettino kepada wartawan. "Atas alasan yang berbeza, ia adalah sukar.

"Mungkin kita bercakap tentang salah seorang pengurus terakhir yang dapat menggunakan kuasa ini ke atas segala sesuatu di dalam sesebuah kelab bola sepak.

"Pemilik hari ini berbeza. Sebelum ini, England adalah syurga untuk bola sepak. Ia adalah unik: ada rasa hormat terhadap projek, untuk penyokong menghormati pengurus, bahkan ketika saya tiba di Southampton lima tahun lalu, ia masih ada.

"Tetapi, pemilik hari ini berbeza. Apabila bola sepak Inggeris mula berintegrasi dengan bola sepak Eropah, England mula berkongsi lebih banyak budaya Latin. Dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, apa yang terjadi dalam permainan Inggeris akan berlaku terhadap negara Eropah yang lain," tambahnya.

Tottenham mengakhiri 'badi Stadium Wembley' menerusi 12 perlawanan tanpa kalah dalam saingan EPL di gelanggang sementara mereka itu, termasuk menumbangkan Manchester United 2-0 dalam perlawanan terakhir di stadium berkenaan.

Pochettino percaya Spurs, yang akan kembali ke White Hart Lane pada musim depan, kini selesa di Wembley.

"Ia sukar pada awalnya," kata Pochettino. "Ia seperti ketika anda berpindah rumah, meninggalkan tempat kelahiran dan anda dibesarkan selepas 20 tahun. Anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan segala-galanya.

"Beberapa malam pertama, anda tidak dapat tidur kerana segala-galanya adalah berbeza sama sekali. Ia adalah venue baru tetapi bukan laman anda sendiri. Kini, kami mula berasakan bahawa ia gelanggang kami, sebelum ini ia hanya sebuah rumah baru.

"Begitu juga peminat. Adalah sukar untuk menyesuaikan diri kerana mereka sudah sinonim di tempat yang sama sepanjang hidup mereka, duduk orang yang sama di sebelah anda, di bar yang sama sebelum permainan. Kita adalah makhluk kebiasaan."