Mauricio Pochettino menegaskan Tottenham masih belum terkeluar daripada persaingan takhta Liga Perdana Inggeris, walaupun ketinggalan 10 mata daripada pendahulu liga, Chelsea.

Keputusan seri dalam empat perlawanan pada Oktober dan November, tewas kepada Chelsea dan Manchester United telah menggugat kedudukan mereka, tetapi mereka kembali menemui rentak selepas menewaskan Hull City dan Burnley.

"Kami masih mampu bersaing untuk merebut takhta liga," kata Pochettino.

"Benar, kami ketinggalan 10 mata, tetapi di dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku. Masih terdapat banyak perlawanan.

"Saya berpendapat kami berada di landasan yang tepat, kami sudah mula memenangi perlawanan dan akan cuba meneruskan momentum ini bagi merebut tangga kedua liga.

"EPL tidak akan berakhir pada esok, bukan untuk beberapa minggu lagi. Saya berpendapat saingan liga masih panjang."

Tottenham bakal bertandang ke Stadium St Mary bertemu Southampton pada 28 Disember.