Mauricio Pochettino berkata 'anda sentiasa berada dalam hati kami' tatkala bekas pengurus Tottenham Hotspur itu meninggalkan pesanan selamat tinggal penuh emosi kepada skuad Spurs itu.

Kelmarin, Pochettino dipecat dan digantikan oleh Jose Mourinho walaupun mengemudi pasukannya itu mara ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Situasi itu menyaksikan Spurs menamatkan tempoh lima tahun enam bulan Pochettino bersama Spurs tatkala mereka kini menduduki tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris.

Pembantu Pochettino, Jesus Perez, menggunakan Twitter untuk berkongsi pesanan selamat tinggal yang ditulis Pochettino di atas papan taktikal selepas tidak dapat menemui setiap pemain dalam pasukan itu.

"Terima kasih tidak terhingga kepada anda semua," kata Pochettino.

"Kami tidak boleh ucapkan selamat tinggal, anda sentiasa berada dalam hati kami."

Masa depan Pochettino telah menjadi tajuk utama media sejak dia meninggalkan Spurs.

Pengurus berusia 47 tahun itu dikaitkan dengan juara Bundesliga, Bayern Munich, serta Manchester United yang dilaporkan mahukan khidmatnya sebelum mendapatkan Ole Gunnar Solskjaer.

Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) turut dikatakan sebagai destinasi yang berpotensi buat Pochettino.