Mauricio Pochettino menegaskan keputusan berhubung masa depan Kyle Walker di Tottenham Hotspur adalah di luar bidang kuasanya.

Pemain pertahanan kanan itu dilaporkan meningkatkan keresahan di White Hart Lane selepas dia menuntut peningkatan gaji sehingga GBP70,000 (RM392,000) seminggu lalu Pochettino bertindak menurunkan Kieran Trippier berbanding Walker dalam perlawanan getir berdepan Chelsea dan Arsenal yang lalu.

Pochettino mengesahkan Walker bersedia untuk diturunkan bagi menghadapi West Ham, awal pagi esok ketika Spurs memburu kemenangan ke-10 berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Biarpun di tengah-tengah laporan yang mengatakan Manchester City berminat menawarkan bidaan sebanyak GBP35 juta (RM195.9j) ke atas Walker, Pochettino mengesahkan dia tidak akan menghalang perpindahan tonggak England itu.

"Kami akan membuat keputusan ke atas pemain yang akan berpindah dan yang akan kekal dan siapa yang akan ditandatangani," kata pengurus dari Argentina itu.

"Keputusan muktamad sentiasa akan dibuat oleh kelab kerana saya hanyalah pengurus. Ia bukan Kelab Bola Sepak Mauricio Pochettino. Itu yang perlu diperjelaskan. Dalam tempoh tiga tahun ini, keputusan sentiasa terletak kepada kelab."

Dalam masa yang sama, keadaan Danny Rose akan dinilai sebelum Tottenham berkunjung ke Stadium London susulan pemain pertahanan itu tersisih selama tiga bulan akibat kecederaan lutut.