Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, menepis sebarang cakap-cakap mengenai kemungkinan dia ke Barcelona sambil bertegas dia “sangat gembira” di kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Dengan Luis Enrique kini di bawah tekanan hebat di Barca, Pochettino dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi LaLiga itu pada penghujung musim ini.

Tapi pengurus berbangsa Argentina itu enggan terheret dalam spekulasi berkenaan sambil menekankan dia berpuas hati dengan hidup di Spurs.

“Ia sangat penting untuk fokus terhadap permainan,” kata Pochettino menjelang pertemuan Liga Europa pasukannya dengan Gent.

“Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai itu. Saya berada di Tottenham. Saya sangat gembira. Saya mempunyai baki empat tahun lagi dalam kontrak dan saya sedang menikmati satu projek yang menarik.

“Memang benar ia bukan satu projek yang mudah tapi saya sangat gembira di sini.”

Tekanan kini semakin berganda ke atas Luis Enrique selepas Barca dibelasah 4-0 oleh Paris Saint-Germain (PSG) dalam pertemuan peringkat pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara.

Barca juga menduduki tangga kedua dalam LaLiga, hanya satu mata di belakang Real Madrid, yang bermain kurang dua perlawanan.