WATFORD 2 TOTTENHAM 1

Tottenham perlu memantapkan benteng secara drastik sekiranya ingin mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), kata pengurus, Mauricio Pochettino.


Permulaan sempurna Spurs musim ini disekat Watford yang bangkit untuk meraih kemenangan 2-1 di Vicarage Road semalam.

Pasukan kendalian Pochettino itu memimpin permainan susulan gol sendiri Abdoulaye Doucoure, begitupun The Hornets bangkit dan memungut tiga mata menerusi tandukan Troy Deeney dan Craig Cathcart.

Keperitan itu merupakan kekalahan sulung Tottenham musim ini dan membawa mereka kembali berpijak di bumi selepas membelasah Manchester United 3-0, minggu lalu.

Pochettino terkejut dengan prestasi pertahanan anak buahnya dan menuntut peningkatan mendadak apabila mereka kembali daripada rehat antarabangsa, dua minggu lagi.

"Daripada dua situasi bola mati, kami melepaskan dua gol," katanya kepada Sky Sports.

"Jika anda mahu menjadi pencabar dan berada di atas, anda tidak boleh dibolosi seperti ini.

"Sudah tentu, dalam perlawanan EPL, situasi ini akan berlaku terhadap mana-mana pasukan. Anda perlu menunjukkan pertahanan yang lebih baik kerana situasi ini adalah ketika anda benar-benar membuktikan bahawa anda ingin menang.

"Sudah tentu saya kecewa dengan hasilnya tetapi realitinya jelas, itulah sebabnya kami tewas.

"Saya telah memberitahu kepada semua pemain selepas pertemuan (dengan Manchester United) bahawa saya tidak gembira dan ia berulang lagi apabila kami cuba mempertahankan hantaran jauh. Kami perlu menunjukkan kekuatan, personaliti dan karakter untuk bermain bola sepak dan bertahan.

"Saya rasa analisisnya nanti adalah sesuatu yang ketara dan mudah dijelaskan," tambahnya.

Keputusan itu bermakna Watford memenangi keempat-empat perlawanan awal mereka buat kali kedua dalam sejarah mereka.

Deeney menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan dan pengurus, Javi Gracia, pantas menghamburkan pujian ke atas pemain berusia 30 tahun itu.

Apabila ditanya mengenai keupayaan Deeney untuk memotivasikan pasukan, beliau memberitahu Match of the Day: "Bukan hanya hari ini, malah selalu.

"Bagi kami, saya telah melihat dan mengatakan bahawa dia sangat penting. Dia sekali lagi membuktikannya tetapi ia tidak mengejutkan saya."