TOTTENHAM 2 BRIGHTON 0

Mauricio Pochettino menyasarkan Tottenham Hotspur untuk kembali ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan ke atas Brighton & Hove Albion, awal pagi tadi.


Spurs tergelincir ke tangga ketujuh sebelum sepak mula di Wembley tetapi hasil kemenangan 2-0 awal pagi tadi, anak buah Pochettino kembali mendaki kedudukan.

Hantaran lintang Serge Aurier memberikan Spurs gol pendahuluan sebelum rehat dan memerlukan sentuhan lewat Son Heung-min untuk memastikan tiga mata.

Biarpun gagal mengulangi aksi memukau seperti ketika membelasah Stoke City 5-1 hujung minggu lalu, Spurs tetap mampu memenuhi tanggungjawab mereka.

"Saya fikir tiga kemenangan berturut-turut ini sangat hebat buat kami -- sangat penting bagi kami," kata Pochettino.

"Saya gembira dengan persembahan ini.

"Kami berasa seronok kembali di kedudukan teratas dan sangat penting untuk mengekalkan kedudukan ini sekarang."

Pengurus Argentina itu mengakui pasukannya mungkin bernasib sedikit baik tetapi berasakan mereka sememangnya layak untuk menang selepas mengawal permainan -- Spurs menamatkan aksi dengan 75 peratus penguasaan bola.

"Kami memang berhak, kami menguasai permainan," katanya. "Kami memang patut mendahului pada separuh masa pertama, kemenangan penting untuk kami terus percaya dan berjuang untuk EPL.

"Kami mencipta banyak peluang, bukan mudah untuk berdepan lawan yang hanya gemar untuk cuba menghalang anda bermain," ujarnya.