Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, "tidak bersikap santai" dengan aktiviti lembab perpindahan kelab tatkala Liga Perdana Inggeris (EPL) hampir membuka tirai.

Jendela perpindahan EPL bakal ditutup Khamis ini dan Spurs merupakan kelab tunggal EPL yang masih belum melengkapkan sebarang perjanjian sejak kempen 2018 berakhir.

Pemain tengah Aston Villa, Jack Grealish, telah dikaitkan dengan kelab London itu tetapi masa semakin suntuk untuk mereka memuktamadkan perjanjian.

Sungguhpun Spurs telah mengikat bintang mereka, termasuk kapten England, Harry Kane, dengan kontrak jangka masa panjang, Pochettino mengakui bimbang dengan situasi perpindahan.

"Tidak, saya tidak tenang. Saya seorang jurulatih dan apabila anda bertindak sebagai seorang jurulatih, anda tidak boleh bersikap santai," katanya semalam.

"Kami perlu yakin dan percaya kepada pemain yang kami miliki dan cara kami bekerja.

"Tetapi tentu saja bola sepak menuntut keperluan untuk sentiasa menambah kualiti kerana setiap musim adalah berbeza, itulah yang dilakukan seteru kami.

"Sekiranya kami tidak dapat berbuat demikian, kami perlu berusaha menjadi kreatif dan tentu saja bantuan daripada pemain muda akan menjadi menakjubkan untuk membuktikan bahawa mereka dapat membantu jika kami tidak menandatangani pemain.

"Kami bekerja keras tetapi situasi masih seperti pada hari pertama jendela perpindahan -- tanpa sebarang pemain baru.

"Saya fikir saya bukanlah orang yang tepat untuk menjelaskan perkara ini. Sememangnya orang menjangkakan pengurus akan menerangkannya tetapi dalam keadaan ini, atas sebab-sebab yang berbeza, sukar untuk menambah pemain yang boleh membantu kami.

"Bagaimanapun, anda tahu pada minggu terakhir, banyak perkara boleh terjadi," ujarnya.

Grealish dilaporkan menjadi sasaran utama Spurs tetapi pelaburan baru di Villa telah mengukuhkan kedudukan mereka untuk bersaing dalam Liga Kejuaraan.

Pengurus, Steve Bruce, berharap dapat mengekalkan pemain berusia 22 tahun itu sambil berkata pihak Pochettino belum membuat sebarang tawaran yang bersesuaian.

"Memang ada rundingan tetapi saya tidak fikir kami menerima tawaran formal," kata Bruce kepada pemberita.

"Wujud perbincangan dan ia berlaku hampir sepanjang musim panas ini. Pemilik telah menyatakan dengan cukup jelas bahawa tiada siapa yang akan dijual.

"Kami tidak mahu kehilangan pemain terbaik kami tetapi kami sedar bahawa setiap pemain mempunyai harganya. Perkara terbaik yang boleh pemilik lakukan ialah dengan tidak membiarkan pemain pergi dengan harga murah.

"Jika sesiapa mahu datang dan membeli pemain kami, mereka perlu mencari harga yang setimpal dan memastikan pemiliknya selesa dengan tawaran tersebut.

"Ketika ini, kita semua tahu mengenai situasi bola sepak, namun Spurs tidak membuat tawaran yang setimpal untuk dipertimbangkan oleh pemilik kami.

"Tiada perbincangan dibuat pada waktu ini memandangkan mereka tidak mengajukan angka seperti yang kami harapkan."