BRIGHTON 1 TOTTENHAM 1

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, menegaskan kegagalan pasukannya untuk mengalahkan Brighton and Hove Albion dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium Falmer awal hari ini tiada kena-mengena dengan keputusannya mengubah kesebelasan utama.

Dalam aksi yang berkesudahan seri 1-1 itu, jurulatih kelahiran Argentina berkenaan membuat enam pertukaran daripada skuad yang kalah 3-1 kepada Manchester City pada hujung minggu lalu, terutama Dele Alli.

Toby Alderweireld membuat penampilan pertama dalam Liga Perdana sejak Oktober lalu manakala Son Heung-min, Victor Wanyama, Moussa Sissoko, Serge Aurier dan Lucas Moura turut memulakan perlawanan.

Mereka gagal mencetuskan kemenangan Spurs bagi menyamai mata Liverpool di tempat ketiga tetapi Pochettino enggan menyalahkan pemainnya.

"Kami memikirkan untuk memulihkan kecergasan mereka kerana perlawanan menentang Manchester City, Ahad lalu adalah sukar daripada segi mental dan fizikal," katanya kepada Sky Sports.

"Kami mempunyai skuad yang cukup baik untuk memenangi perlawanan. Keputusan hari ini bukan kerana kami mengubah pasukan. Semua sedia untuk bermain tetapi Brighton adalah lawan yang sangat sukar dan kami perlu memberikan pujian kepada mereka."

Selepas separuh masa pertama, jaringan liga ke-26 daripada Harry Kane pada minit ke-48 kelihatan menyerlahkan skuad utara London itu untuk meraih kemenangan rutinnya.

Harapan itu dimusnahkan dalam tempoh 90 saat apabila Pascal Gross menyudahkan sepakan penalti setelah Jose Izquierdo dijatuhkan, sekali gus menimbulkan kekecewaan buat Pochettino.

Dia menambah: "Ia adalah perlawanan sukar, terutama dalam babak pertama. Kami memulakannya dengan baik dalam separuh masa kedua.

"Kami menjaringkan gol dan kemudian kami bolos. Dalam babak kedua, kami menguasai perlawanan, mencipta peluang tetapi tidak cukup untuk memenangi perlawanan.

"Keputusan seri sedikit mengecewakan kerana hajatnya adalah tiga mata."