Mauricio Pochettino memohon maaf kepada Manchester United susulan terjahan keras daripada pemain Tottenham Hotspur ketika aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), semalam.

Angel Gomes menyumbat gol kemenangan pada minit-minit akhir permainan selepas rembatan Lucas Moura memadamkan pendahuluan daripada Anthony Martial di China.

Eric Bailly mengalami kecederaan lutut ketika menahan percubaan Son Heung-Min dan pemain sayap baru United, Daniel James, tampak menjadi sasaran Spurs tatkala Pochettino mengakui anak buahnya mungkin beraksi terlalu agresif.

"Saya agak kecewa dengan beberapa situasi dan tidak gembira," katanya.

"Ia satu aksi persahabatan dan dalam beberapa situasi sewaktu anda penat, apabila keadaan sangat panas, anda tidak berada dalam tempo terbaik untuk tiba dan membuat tindakan. Kadangkala anda lewat sampai dan sesuatu boleh berlaku.

"Saya memohon maaf daripada pihak pemain saya untuk United."

Pochettino juga menambah: "Ia bukan niat mereka tetapi kadangkala apabila anda lambat sampai, sesuatu berlaku.

"Saya risau kerana dalam tempoh persiapan ini, kadangkala anda perlu agresif dan bermain sepenuh hati. Namun, fokus sebenar adalah membina kecergasan dan meningkatkan corak permainan.

"Sudah tentu saya risau. Bailly mengalami kecederaan dan saya meminta maaf tetapi dia seorang saja.

"Apabila pemain mula membina kecergasan dan berjuang untuk mendapatkan tempat dalam pasukan, agak sukar setelah sesuatu berlaku. Saya risau tetapi aksi dalam babak kedua sedikit tenang."

Sementara itu, laporan mengatakan bahawa klausa bernilai GBP25 juta (RM128j) dalam kontrak pertahanan Spurs, Tony Alderweireld, tamat semalam tetapi Pochettino tidak mahu bercakap mengenai masa depan pemain pertahanan Belgium itu.

"Tiada apa yang boleh diperkatakan," tambahnya.

"Saya fokus dengan pemain yang kami ada serta semua yang kelab sediakan untuk kami. Saya dan barisan kejurulatihan cuba membantu mereka meningkat dan bekerjasama dengan mereka yang bakal kami dapatkan sebelum tamat jendela perpindahan.

"Situasi saya ketika ini adalah untuk masa depan. Saya tidak akan bercakap mengenai pemain yang akan ditandatangani, penjualan pemain, perbaharui kontrak atau lanjutan kontrak mereka. Ia akan dimaklumkan oleh kelab sekiranya mereka mahu.

"Saya tidak akan bercakap tentangnya. Saya mahu berbincang mengenai pengurusan skuad yang kami miliki dan membuatkannya jelas kerana akan datang, jika anda bertanya kepada saya, ia akan menjadi sedikit pelik kerana saya tidak boleh menjawab. Saya tiada jawapannya."