Mauricio Pochettino menafikan mengetahui sebarang laporan terbaru yang mengaitkannya dengan Real Madrid dengan mendakwa tidak mengambil pusing mengenainya adalah cara terbaik untuk menangani spekulasi berkenaan.

Khabar angin yang hangat mengaitkan Madrid dengan bekas pengurus Espanyol itu timbul pada hujung minggu ketika kelibat Julen Lopetegui di Madrid semakin diragui.

Bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte, disebut-sebut akan menduduki kerusi panas bersama juara Eropah berkenaan sekiranya Lopetegui menyelamatkan jawatannya dalam pertembungan 'El Clasico' dengan Barcelona malam esok.

Usaha mendapatkan Pochettino kelihatan tipis memandangkan beliau baru memperbaharui kontrak selama lima tahun dengan Tottenham pada Mei lalu dan pengurus berusia 46 tahun itu berkesempatan untuk mengulas spekulasi tersebut.

"Oleh kerana saya berada di negara berbeza, bahasa Inggeris saya tidak begitu baik dan saya tidak terlalu mengikuti laporan media," kata pengurus Spurs tersebut.

"Anda semua wajib tahu bahawa sebelum saya tiba di sini (untuk sidang berita) dan dalam masa dua minit, saya dijelaskan tentang apa yang berlaku dan saya sentiasa terkejut mengenainya.

"Saya tidak mempunyai media sosial, Twitter, Instagram, Facebook. Saya tidak menerima apa-apa maklumat lain. Sebab itulah fikiran dan rupa saya kelihatan lebih muda.

"Perkara-perkara ini berlaku dalam bola sepak, anda tidak dapat mengubah apa-apa."

Tumpuan Pochettino kini terarah untuk mempersiapkan Tottenham untuk pertemuan dengan Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), pagi Selasa depan.

Prestasi Hugo Lloris akan diberi perhatian khusus berikutan kad merah yang dilayangkan terhadap penjaga gol itu dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu ketika berdepan PSV.

Dia dibuang padang atas kekasaran di luar kotak penalti yang mirip dengan kesilapannya ketika menentang Barcelona awal bulan ini, kapten itu bagaimanapun terus mendapat sokongan pengurusnya itu.

"Dia tidak bermain menentang Watford dan Inter, lalu kami tewas perlawanan itu," kata Pochettino. "Kami mempunyai kenangan singkat dalam bola sepak.

"Dalam bola sepak, kadang-kadang ia berjalan dengan baik dan adakalanya tidak begitu baik tetapi bagi saya, Hugo adalah salah seorang penjaga gawang terbaik di dunia."