Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mahu mendapatkan pemain baru yang lebih berkualiti sebelum jendela perpindahan ditutup.

Spurs satu-satunya pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih belum mendapatkan pemain baru sejak tamatnya saingan 2016/17, sebaliknya Kyle Walker meninggalkan pasukan untuk menyertai Manchester City.

Keadaan itu menyebabkan pertahanan kiri, Danny Rose, mengkritik tindakan kelab yang menggesa pasukan dari London itu segera memperkuatkan pasukan.

Selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United kelmarin, Pochettino mengesahkan dia mahu mendapatkan tenaga baru bagi menghadapi saingan 2017/18.

“Keseimbangan adalah sesuatu yang penting. Kami memerlukan pemain baru yang boleh memberikan tenaga baru kepada pasukan. Persaingan antara pemain sangat penting.

“Kami memiliki 10 bulan yang penting selepas ini, bersaing dalam empat kejohanan dan pastinya ia memerlukan tenaga yang banyak bagi membantu pasukan,” ujarnya.

Sementara itu, Pochettino turut memuji kematangan pemain tengah, Dele Alli, yang bijak mengawal emosi selepas wujud pertelingkahan dengan pemain Newcastle, Jonjo Shelvey.

“Dia tenang dan itu sangat penting. Kami ada memperkatakannya pada musim lalu bahawa pemain perlu bijak mengawal emosi.

“Alli masih belum mencapai tahap terbaik tetapi saya yakin masanya akan tiba,” tambah Pochettino.