Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, mahu mencontohi ikon Manchester United, Sir Alex Ferguson, dalam melahirkan pemain muda England yang berbakat.

Ferguson mengubah United menjadi kuasa besar bola sepak di England dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris bagi musim 1992-93 -- sebelum menjuarai 12 kejuaraan liga selepas itu.

Pochettino memiliki bintang England seperti Harry Kane dan Delle Alli yang sedang beraksi di tahap terbaik mereka musim ini, sekaligus membawa Spurs di kedudukan kedua liga.

Pengendali Argentina itu berharap kedua-dua pemain itu mampu menghadirkan kejuaraan buat pasukan berpangkalan di utara London itu.

"Ada tekanan yang besar untuk muncul juara apabila kamu mengendalikan pasukan yang besar," kata Pochettino.

"Tetapi bagi saya, contoh terbaik adalah Manchester United ketika dikendalikan Sir Alex Ferguson. Dia menghasilkan pemain muda daripada akademi sendiri ataupun melahirkan pemain England yang berbakat.

"Dari hari pertama saya tiba di Southampton, kami sering berkata apa yang paling penting adalah memberi kepercayaan terhadap pemain muda.

"Bagi saya, Southampton dan Tottenham telah membuktikan bahawa mereka mampu melahirkan bakat muda sepertimana dilakukan di Argentina, Sepanyol dan Brazil."

Alli dan Kane tersenarai antara enam calon untuk memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik PFA musim ini.