Mauricio Pochettino beranggapan Erik Lamela bakal mencapai keadaan lebih baik berbanding sebelum ditimpa kecederaan susulan aksi menentang Newport County, awal pagi tadi.

Pemain sayap Argentina itu menjaringkan gol pertamanya buat Spurs dalam masa 504 hari ketika membantu pasukan menundukkan Newport bagi aksi ulangan pusingan keempat Piala FA di Stadium Wembley.

Dia terlepas hampir keseluruhan musim lalu akibat masalah kecederaan pinggang dan hanya kembali beraksi pada November lalu. Sejak itu, dia telah beraksi dalam 13 perlawanan terakhir Spurs.

"Dia cintakan bola sepak dan gembira untuk melakukan latihan. Ketika waktu sukar, anda akan mempelajari banyak perkara. Sudah tentu Lamela mampu mencapai tahap yang lebih hebat kerana dia kini lebih berpengalaman.

"Pastinya penting buat seorang pemain serangan untuk menjaringkan gol dan beraksi selama 90 minit. Ia juga penting buat Lamela kerana dia merupakan pemain utama kami," kata Pochettino.

Dalam masa sama, Pochettino tidak menyembunyikan rasa gusar terhadap persembahan penyerang, Fernando Llorente, selepas pemain Sepanyol itu terlepas dua peluang keemasan dalam babak kedua untuk menjarakkan kedudukan.

"Ya, saya sangat risau. Sangat risau!"

"Ini adalah aksi Piala FA dan jika anda tidak menang, anda patut risaukan persembahan. Llorente terlepas peluang yang sepatutnya berakhir dengan jaringan.

"Kami kini mempunyai 24 pemain yang akan cuba merebut tempat dan sudah tentu ia satu perkembangan yang bagus. Kami akan terus meningkat dan fokus untuk memberikan aksi terbaik," tambahnya.