Mauricio Pochettino menyifatkan Son Heung-min sebagai ikon sambil membandingkan penyerang Tottenham itu dengan bekas bintang Manchester United, David Beckham, menjelang pertembungan dengan The Red Devils, malam ini.

Son menjadi tumpuan dalam lawatan pra-musim Tottenham di Asia dan pengurus itu berkata sambutan terhadap pemain Korea Selatan itu adalah sesuatu yang tidak mengejutkannya.

Pemain berusia 27 tahun itu bersedia untuk mengharungi musim kelimanya sebagai pemain Spurs dan dia telah menyumbat 42 gol dalam 130 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak hadir daripada Bayer Leverkusen pada Ogos 2015.

Son tampil dalam kemenangan 3-2 Tottenham ke atas Juventus dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 di Singapura, Ahad lalu, dan dijangka terlibat membarisi skuad bimbingan Pochettino itu yang akan berdepan United di Shanghai, China, malam ini.

Ditanya sama ada beliau terkejut dengan kekaguman peminat terhadap Son, Pochettino memberitahu pemberita: "Tidak, saya tidak terkejut. Kami menghargainya dan lihat ramai yang begitu meminati Sonny di Asia.

"Sudah tentulah dia merupakan ikon. Saya membandingkannya dengan David Beckham berdasarkan popularitinya.

"Ia sesuatu yang tidak mengejutkan saya tetapi amat manis untuk melihat sejauh mana peminat menyukainya dan betapa pentingnya dia kepada masyarakat.

"Saya gembira apabila mendengarnya memberitahu anda bahawa dia masih mahu memperbaiki permainannya, menjadi pemain yang lebih baik dan terus bekerja keras. Ia mentaliti yang hebat dan itulah sebabnya dia adalah contoh yang baik buat semua peminat dan masyarakat, bukan sahaja di Asia bahkan di dunia. "

Son tidak mengangkat diri sendiri, sebaliknya bangga dengan menyatakan kegembiraannya berpeluang menjadi sebahagian daripada skuad itu.

Dia turut berpesan kepada rakan sepasukannya bahawa biarpun mereka mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) pada 2018-19, mereka perlu menebus kegagalan tersebut dengan menghadiahkan trofi (kepada penyokong) setelah mempamerkan prestasi mengagumkan dalam beberapa musim terakhir.

"Ia bukan hanya berkisarkan saya, ia mengenai semua pihak," kata Son yang enggan termakan dengan pengiktirafan daripada pengurusnya.

"Saya berasa cukup istimewa untuk berada di sini di samping pasukan, saya tidak peduli sama ada saya menjadi tarikan utama atau tidak.

"Saya gembira untuk berada di sini tetapi saya masih belajar. Setiap hari saya ingin menjadi pemain yang lebih baik. Sudah tentu saya sukakan langkah itu tetapi saya tidak mahu terlalu tekanan.

"Saya harus berbangga untuk bekerja lebih keras daripada sebelum ini kerana ramai yang menonton aksi saya dan menaruh harapan yang tinggi. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk terus maju, termasuk kakitangan kami. Saya amat teruja," katanya.