TOTTENHAM HOTSPUR 4 HUDDERSFIELD TOWN 0

Mauricio Pochettino berasakan kemenangan 4-0 Tottenham Hotspur ke atas Huddersfield Town dalam Liga Perdana Inggeris malam tadi membuktikan ketepatan keputusannya untuk merehatkan pemain menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah dengan Manchester City, Khamis ini.


Dengan kecederaan yang menimpa Harry Kane dan Dele Alli, Pochettino memilih untuk meletakkan Son Heung-min, Danny Rose dan Toby Alderweireld di bangku pemain simpanan.

Ia tidak memberikan sebarang kesan apabila Spurs mudah merobek kubu The Terriers -- yang sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan -- dengan Victor Wanyama menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana serta jaringan hatrik daripada Lucas Moura.

Ramai terkejut apabila Heung-min tidak bermula sebagai kesebelasan utama, namun Pochettino percaya dia sudah melakukan pernilaian yang tepat untuk merehatkan bintang Korea Selatan itu menjelang suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Manchester.

"Kami mahu memberikan kesegaran buat pasukan ini kerana kami akan memerlukan usaha yang jitu ketika menentang City," katanya kepada Sky Sports.

"Ia tidak mudah kerana setiap orang mempunyai pandangan tersendiri.

"Selepas perlawanan, kita dapat lihat betapa ia keputusan yang tepat."

Sementara itu, penjaring hatrik, Lucas, berkeyakinan Spurs mampu mempertahankan kelebihan 1-0 yang diraih daripada skuad kendalian Pep Guardiola itu dalam suku akhir pertama, Rabu lalu.

"Kami kini akan berdepan perhitungan terbaik di Manchester dan kami perlu segera pulih daripada perlawanan ini dan bersiap sedia sepenuhnya.

"Ia pasti amat sukar di sana, namun jika kami bermain seperti hari ini, kami boleh ke sana untuk memperoleh keputusan yang baik dan layak (ke separuh akhir)," katanya.