Mauricio Pochettino mengatakan bahawa gaya permainan Tottenham Hotspur dan Juventus tidak dapat dibandingkan sambil menegaskan kelab Inggeris itu harus bercita-cita untuk berdiri sebaris dengan kelab juara Itali itu.

Spurs dan Juve akan berentap dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok, dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Allianz.

Gergasi Serie A itu telah mera ke dua daripada tiga final terakhir -- kalah kepada Barcelona dan Real Madrid -- manakala kali terakhir menjulang mahkota itu pada 1996.

Sementara itu, Spurs mengintai tempat untuk membuat penampilan dalam suku akhir buat kali kedua di bawah asuhan Pochettino, dan pengurus Argentina itu percaya mereka masih jauh ketinggalan dengan Old Lady di peringkat Eropah.

"Saya fikir Juventus adalah sebuah pasukan yang luar biasa, kita tidak boleh membuat perbandingan," kata Pochettino dalam sidang media.

"Dalam sejarah, mereka telah memenangi segala-galanya dan beraksi dalam dua perlawanan akhir dalam tiga musim terakhir. Kami adalah pasukan muda dan kami masih membina projek kami.

"Impian kami adalah untuk mendapatkan tahap seperti Juventus: kami akan melihat esok jika kami boleh bersaing dengan mereka."

Juve akan turun tanpa penggempur, Paulo Dybala, kerana gagal pulih daripada kecederaan hamstring, begitupun Pochettino mengatakan rakan sejawatnya, Massimiliano Allegri, mempunyai pilihan yang cukup dalam skuadnya.

"Dia (Dybala]) adalah pemain hebat untuk Juve, tentu saja, sedikit berbeza tanpanya," kata Pochettino.

"Seperti (Lionel) Messi, Cristiano (Ronaldo) dan Neymar, Dybala memiliki kemampuan untuk memberi pilihan yang berbeza. Namun, Juve memiliki ramai pemain yang dapat menggantikannya seperti Federico Bernardeschi."

Selepas diundi dalam kumpulan sukar bersama Real Madrid dan Borussia Dortmund, Spurs diramalkan bakal tersingkir awal, namun keluar sebagai juara kumpulan.

Sehubungan itu, Pochettino tidak mahu mengubah pendekatannya di peringkat kalah mati.

"Kami tidak boleh mengubah prinsip," katanya. "Kami perlu agresif, berani, menghormati lawan kami. Ketika bergelar pemain, saya mengimpikan untuk terlibat dalam permainan seperti ini tetapi pada waktu ini, saya fikir selangkah demi selangkah.

"Ketika undian peringkat kumpulan, semua orang memikirkan Real Madrid terlebih dahulu dan Dortmund kedua. Kami memenangi peringkat kumpulan dan kini kami berada di sini.

"Kami perlu menunjukkan keinginan untuk pergi ke peringkat seterusnya, bermain dengan baik, menjaringkan gol.

"Ia sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan di sini, kami perlu berdaya saing dan terus bergerak. Persembahan kami kebelakangan ini ada yang memukau, kami pasti dapat mengulanginya esok," katanya lagi.