Bos Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mengakui sukar untuk menafikan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Chelsea jika skuad itu menang dua perlawanan akan datang.

Pendahulu liga itu akan berkunjung ke Anfield awal pagi nanti untuk bertemu skuad di tangga keempat, Liverpool, sebelum melayan pesaing terdekatnya, Arsenal, di Stamford Bridge, Sabtu ini.

Sekiranya skuad Antonio Conte berjaya meraih mata maksimum dalam kedua-dua perlawanan itu, Pochettino bimbang perebutan kejuaraan mungkin berakhir.

"Jika mereka menang kedua-dua perlawanan itu, ia akan menjadi sukar untuk menghalang mereka," kata Pochettino.

"Kami perlu memberi tumpuan kepada permainan kami. Perkara yang paling penting adalah untuk mendapatkan tiga mata. Dan sudah tentu kami juga boleh merapatkan jurang dengan Chelsea."

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Argentina itu mahu pemainnya terus memberi tumpuan kepada pertemuan mereka menentang Sunderland esok (awal pagi ini) dan Middlesbrough, lima hari kemudian.

"Jika kami menang ke atas Sunderland dan Middlesbrough," kata Pochettino, " kami kekal dengan jurang yang sama.

"Kami perlu berasakan bahawa tiga mata begitu penting untuk mereka dan juga untuk kami. Ini adalah permainan yang sangat penting."

Pochettino membuat banyak perubahan ke atas pasukannya ketika beraksi dalam pusingan keempat Piala FA menentang Wycombe Wanderers, Sabtu lalu, dan meraih kemenangan dramtik 4-3 selepas Son Heung-min menjaringkan gol pada minit ke-97.

Dengan Tottenham mencabar kejuaraan EPL dan juga Liga Europa, pengurus itu akan mengekalkan dasar pemilihan pemainnya.

"Saya perlu bijak bagaimana untuk bersaing. Sudah tentu, saya mahu memenangi beberapa pertandingan tetapi ia sukar untuk memenangi tiga kejohanan -- Liga Europa, EPL dan Piala FA -- dan kami perlu menguruskannya," kata Pochettino.

"Akan datang, kami mempunyai tujuh perlawanan dalam 27 hari. Ia kurang daripada empat hari untuk pulih (jarak perlawanan). Ia adalah keadaan yang amat sukar.

"Kami akan cuba untuk mengurus tiga pertandingan itu dan cuba untuk berjaya dalam tiga, atau dua, atau satu."