Mauricio Pochettino akan mengadakan latihan tambahan buat pertahanan Tottenham Hotspur, Serge Aurier, selepas tiga lontaran ke dalamnya dibatalkan dalam kemenangan 1-0 ke atas seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace, malam tadi.

Aurier mempunyai sebab untuk melupakan kejadian di Selhurst Park itu apabila dia bergelut dengan balingan ke dalam dan gagal menyudahkan peluang terbuka pada penghujung perlawanan.

Tandukan Harry Kane menyelamatkan Aurier daripada menanggung malu, namun Pochettino tetap gembira dengan pemain antarabangsa Ivory Coast itu -- tiba dari Paris Saint-Germain pada Ogos lalu -- dan menegaskan dia perlu bekerja keras.

"Kami akan berlatih mengenainya setiap hari, saya berjanji kepada peminat juga," kata Pochettino dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Yang pertama, dia cuba mendapatkan bola itu dengan segera dan mungkin membuat kesalahan.

"Berdepan sedikit tekanan daripada pengadil, situasinya sama seperti Dele (Alli).

"Apabila Dele mahu melakukan sesuatu, tumpuannya teralih, sama seperti Serge.

"Saya berkata: 'Ayuh, anda akan membuatkan saya dipecat!' Ia kelihatan seperti kami ini sangat teruk dan tidak berlatih lontaran ke dalam.

"Dia memerlukan masa. Ia normal dalam Liga Perdana."