Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, bangga dengan pasukannya kerana dapat beraksi cemerlang di hadapan pemain terbaik sepanjang zaman, Diego Maradona.

Maradona menyaksikan perlawanan ketika Spurs membelasah Liverpool 4-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Wembley, malam tadi.

Dianggap sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, legenda Argentina, Maradona, adalah rakan sepasukan Pochettino di Newell's Old Boys sekitar 90-an.

Bos Spurs berkenaan gembira melihat pasukannya menghasilkan prestasi yang baik di hadapan pemenang Piala Dunia 1986 itu.

"Saya bertemu dengannya sebelum perlawanan. Ia sangat emosional, sukar untuk melepaskannya pergi kerana apabila berada di hadapannya, anda ingin berkongsi saat dengannya," kata Pochettino.

"Bertemu dengannya sekali lagi adalah hebat, dia adalah pemain terbaik dalam bola sepak. Dia hebat. Dia ingat setiap saat kami bermain di Newell's Old Boys. Ia membuatkan dia istimewa.

"Harry Kane dan Hugo Lloris diperkenalkan kepadanya, saya tidak tahu apa yang dia buat untuk Spurs, anda mesti bertanya kepadanya."

Pochettino menambah: "Dia membawa tenaga yang sangat baik. Dia adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.

"Saya sangat gembira untuk peminat kami, di hadapan Diego Maradona, Kobe Bryant ... hari yang hebat untuk kami."

Tottenham menduduki tempat ketiga dalam EPL, lima mata di belakang pendahulu utama, Manchester City.