Mauricio Pochettino berasakan nasib tidak menyebelahi Tottenham Hotspur selepas seri 1-1 dengan West Ham di Wembley, awal pagi tadi sambil memuji usaha anak buahnya selepas mengharungi tempoh Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sibuk.

Spurs turun beraksi selepas dua hari menewaskan Swansea City 2-0 sementara Harry Kane kembali dalam kesebelasan utama ekoran mengadu tidak sihat, baru-baru ini.

Penyerang England itu serta rakan sepasukannya hampir hampa selepas West Ham mendahului perlawanan menerusi rembatan kencang Pedro Obiang dari jarak 30 meter sebelum Son Heung-min meledak gol yang hampir sama untuk menyamakan kedudukan.

Begitupun, Pochettino berasakan pemainnya telah mengulangi aksi hebat seperti ketika membelasah Southampton 5-2 dalam aksi 'Boxing Day'.

"Dalam perlawanan seperti ini, anda mencipta segala-galanya untuk menang dan menguasai permainan... ya, kadangkala ia berlaku dalam bola sepak," kata pengurus itu sejurus tamat perlawanan.

"Anda terus mengasak, mencipta peluang dan tidak mustahil untuk mencetak gol.

"Saya gembira dengan prestasi dan usaha itu memandangkan kami perlu bermain dua perlawanan dalam tempoh 48 jam. Saya sangat gembira dengan semua pemain. Kadang-kadang anda memerlukan nasib untuk membuka permainan.

"Ia adalah prestasi yang sama ketika kami bertemu Southampton, satu perlawanan berakhir dengan 5-2 dan satu lagi 1-1," katanya.