Pemain tengah Liverpool, Adam Lallana, ditimpa kecederaan yang akan menyekatnya daripada beraksi dalam pusingan keempat Piala FA dengan West Brom di Anfield, awal pagi esok.

Pemain berusia 29 tahun itu yang hanya membuat permulaannya musim ini ketika menentang Burnley pada 1 Januari lalu kembali dilanda masalah paha, yang dijelaskan oleh pengurus, Jurgen Klopp, sebagai "terkoyak sedikit".

Tonggak England itu dijangka terlepas pertembungan dengan skuad kendalian Alan Pardew itu di samping Ragnar Klavan (kesihatan) dan James Milner (kekejangan).

"Adam Lallana sekali lagi ditimpa malang kerana mempunyai sedikit masalah dan saya pasti dia akan bersedia untuk aksi seterusnya," kata Klopp dalam sidang akhbar. "Ia bukan masalah besar, namun ia tentang kecederaan lama. Anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Milly mendapat kekejangan dalam latihan dan jika dia mengatakan ia terlalu sakit, anda boleh membayangkan betapa ia amat menyakitkan.

"Raggy tersisih, dia benar-benar jatuh sakit dan kehilangan beberapa kilogram. Kini dia menghadapi sedikit masalah otot. Tidak terlalu serius tetapi dia tidak akan diturunkan.

"Nathaniel Clyne semakin pulih walaupun masih belum mengikuti latihan, Dejan Lovren sudah kembali," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai mengenai masalah lanjut Lallana, dia berkata: "Ia sedikit terkoyak tapi bukannya besar, lututnya baik-baik saja, tidak ada yang memberitahu saya tentang lututnya."

Jordan Henderson kembali cergas selepas tidak bermain sejak bulan lalu akibat kecederaan hamstring.

Pemain tengah itu bergelut untuk mengukuhkan posisinya pada musim ini, namun Klopp menegaskan dia gembira dengan caranya menggalas tanggungjawabnya sebagai ketua pasukan, terutama dalam perlawanan.

"Jordan Henderson merupakan kapten yang sempurna buat kami," katanya. "Jika dia tidak berada di atas padang, maka penolong ketua pasukan adalah James Milner, tetapi mereka masih merupakan kapten dan itu sangat penting.

"Terdapat begitu banyak perkara berlaku di sekitar kelab besar seperti Liverpool, banyak perkara untuk dibicarakan. Itulah tugas yang perlu dipikulnya. Di lapangan, anda perlu berkongsi tanggungjawab.

"Saya menjadi kapten selama bertahun-tahun, ia adalah tugas penting tetapi kami tidak dapat mengubahnya. Saya tidak fikir anda perlu memperbesarkannya.

"Di kelab ini, ia mungkin sedikit berbeza. Saya sangat gembira dengan kapten Jordan."

Klopp, yang mengesahkan Simon Mignolet akan mengawal gawang, tidak sabar untuk menghadapi jadual lewat perlawanan (3.45 pagi waktu Malaysia).

"Jujur, saya suka permainan malam, pada Sabtu malam orang tidak tidur awal, saya fikir ia adalah masa yang baik untuk bermain bola sepak," katanya. "Lebih baik ia dilangsungkan pada jam 12 tengah malam, saya lapar pada jam 12 tengah malam!

"Ia penting untuk kami mewujudkan suasana yang istimewa, terutama kami menampilkan permainan yang bagus beberapa minggu lalu, begitupun kami mempunyai sebab untuk bangkit.

"Ini satu permainan merebut kejuaraan. Perbezaan terbesar di Jerman ialah kemenangan akan dicapai selepas perlawanan tetapi di England agak berbeza.

"Kami sangat ingin ke pusingan seterusnya dan kami perlu melaksanakannya," kata Klopp lagi.