Manchester United memperoleh peluang keemasan untuk layak ke separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) selepas diundi untuk berdepan pasukan Divisyen Empat, Colchester United, di peringkat suku akhir.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu menewaskan Chelsea 2-1 di Stamford Bridge awal pagi semalam dan akan berdepan lawan di ranking paling rendah dalam kejohanan itu.

Manchester City pula, yang menewaskan Southampton 3-1 dalam pusingan sebelumnya, turut memiliki peluang sama untuk membuka laluan bagi skuad kendalian Pep Guardiola itu menjulang kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut.

Juara bertahan itu akan bertandang ke laman Oxford United, yang menduduki tangga kelima Liga Satu (Divisyen 3) di Stadium Kassam.

Dua pertemuan lain pula akan melibatkan empat pasukan daripada Liga Perdana Inggeris.

Liverpool diundi untuk berdepan Aston Villa selepas menewaskan Arsenal dalam penentuan sepakan penalti manakala Everton kendalian Marco Silva akan menantikan kunjungan Leicester City di Goodison Park.

Keempat-empat perlawanan suku akhir itu akan berlangsung 16 Disember ini.

Buat juara Eropah, Liverpool, yang akan beraksi dalam Piala Dunia Kelab di Qatar dua hari kemudian, mereka pasti akan terbeban dengan jadual perlawanan yang padat.

Pengurus The Reds, Jurgen Klopp, bercadang untuk memboikot perlawanan itu sekiranya masalah mengenai jadual padat itu tidak dapat diselesaikan.

"Jika mereka tidak dapat mencari kedudukan terbaik buat kami, bukan jam 3 pagi pada hari Krismas, kami tidak akan beraksi," kata Klopp selepas pasukannya terikat 5-5 dengan Arsenal dalam permainan 90 minit sebenar.

"Mereka perlu membuat keputusan. Anda perlu memikirkan mengenai perkara ini."

Undian perlawanan suku akhir Piala EFL:
Oxford United lwn Manchester City
Manchester United lwn Colchester United
Aston Villa lwn Liverpool
Everton lwn Leicester City