CHELSEA 2 TOTTENHAM HOTSPUR 1
(Agregat 2-2, Chelsea mara menerusi kemenangan penalti 4-2)

Chelsea mara ke final Piala Liga Inggeris (EFL) selepas mengatasi Tottenham Hotpsur 4-2 dalam penentuan penalti selepas perlawanan di Stamford Bridge berkesudahan 2-1 memihak tuan rumah, awal pagi tadi.


Maurizio Sarri memperoleh kebangkitan yang diharapkan selepas mempersoalkan mentaliti barisan pemain Chelsea ketika mereka tewas kepada Arsenal, Sabtu lalu.

Jaringan daripada N'Golo Kante dan Eden Hazard memadamkan kelebihan satu gol milik pelawat yang dibawa daripada perlawanan pertama.

Tottenham, yang beraksi tanpa bintang utama seperti Harry Kane, Dele Alli dan Son Heung-min, memberikan reaksi balas menerusi jaringan penyamaan daripada Fernando Llorente dalam babak kedua.

Aksi penentuan sepakan penalti berlangsung penuh tekanan, dengan sepakan Eric Dier melewati palang gol manakala sepakan Lucas Moura diselamatkan Kepa Arrizabalaga.

Kemenangan Chelsea disahkan menerusi sepakan terakhir yang diambil David Luiz untuk skuad The Blues itu mencongak perhitungan dengan juara bertahan, Manchester City, dalam final di Wembley, 25 Februari depan.