Mike Phelan berharap dia dapat terus bekerja selaku pembantu buat Ole Gunnar Solskjaer di Manchester United serta pengarah sukan di Central Coast Mariners.

Phelan memegang dua jawatan sejak kembali ke Old Trafford bersama Solskjaer, Disember lalu, dan memainkan peranan dalam kebangkitan prestasi United.

United masih belum mengumumkan perancangan mereka bagi musim depan walaupun pengurus sementara, Solskjaer, dikhabarkan akan memegang jawatan itu secara tetap.

Tidak mahu melepaskan jawatannya bersama kelab Liga Australia, Mariners, Phelan berharap dapat terus berkhidmat buat kedua-dua kelab dan percaya ia situasi yang mampu memberikan kebaikan.

"Ia lebih kepada bagaimana ia berkembang dalam masa beberapa bulan lagi," kata Phelan.

"Kini adalah tempoh sibuk buat United tetapi musim hampir tamat di Australia. Saya rasa sebaik sahaja keputusan dibuat di England, kami akan memulakan perbincangan semula bersama Mariners dan diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan.

"Saya fikir ia bagus. Baik untuk bekerja buat Mariners dan tentunya sumbangan buat kelab itu bersama United adalah perkara bagus.

"Ia bergantung kepada kami tetapi ketika ini, saya masih berminat untuk bersama Mariners."