Mike Phelan beri kepastian akan bersetuju dilantik sebagai pengendali sepenuh masa Hull City sekiranya beberapa permintaanya dipenuhi.

Phelan memimpin Hull melakar dua kemenangan berturut-turut berdepan Leicester City dan Swansea City di awal musim namun tewas 2-0 berdepan Chelsea pada Sabtu merupakan perlawanan kelima mereka tanpa sebarang mata.

Bekas penolong jurulatih Manchester United itu dilantik pengendali sementara di awal musim selepas perletakkan jawatan Steve Bruce bagaimanapun sebarang perbincangan mengenai kontrak berdepan penangguhan susulan isu status pemilikan kelab oleh Assem Allam.

"Perlantikan saya masih tidak menentu namun saya boleh mengesahkan bahawa saya masih berminat meneruskan jawatan ini secara sepenuh masa," Phelan memberitahu BBC Sport.

"Banyak yang sedang dibincangkan. Apabila kamu ditawarkan dengan jawatan besar, kamu perlu tahu apa yang bakal dihadapi.

"Saya perlu diberi jaminan bahawa kelab ini mahu maju kehadapan.

"Itu sahaja persoalan yang harus dijawab. Saya harap persetujuan mampu dikecapi dalam masa terdekat.

"Saya mahu membawa kelab ini pergi lebih jauh. Ketika ini apa yang perlu dilakukan ialah pemilik pasukan perlu duduk berbincang dan menyelesaikan beberapa masalah remeh."

Hull menyamai intensiti Chelsea di keseluruhan babak pertama namun dua gol oleh Willian dan Diego Costa mengesahkan kemenangan skuad kendalian Antonio Conte di babak kedua.

"Saya puas hati melihat pemain membuat beberapa asakan ke kubu lawan di babak pertama namun kami sudah pun menjangka Chelsea untuk bangkit di babak kedua," tambahnya.

"Bagaimanapun dua gol di babak kedua itu berpunca dari kesilapan kami sendiri.

"Ketika ini kami perlu bangkit dan maju kedepan. Kami perlu lebih kompetitif. Tiada masalah dengan pemain saya, kami hanya cuba untuk meraih kemenangan.

"Kami hanya pasukan kerdil, kami perlu lebih realistik ketika berdepan lawan lebih besar."