Antoine Griezmann pasti akan menyertai Manchester United hujung musim ini, kata bekas pemain antarabangsa Perancis, Emmanuel Petit.

Penyerang Atletico Madrid dan Perancis itu terus dikaitkan akan ke Old Trafford, dengan pengurus United, Jose Mourinho, menegaskan dia mahukan pemain berkualiti berbanding kuantiti dalam pasaran perpindahan akan datang.

Petit, yang pernah mewakili Arsenal dan Chelsea, percaya Griezmann yang rapat dengan Paul Pogba dalam kem Les Bleus, akan membantu memujuk pemain berusia 25 tahun itu untuk menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

"Saya berasakan dia akan menyertai Manchester United -- sudah pasti," kata Petit kepada Sky Sports.

"Dia membentuk gandingan mantap dengan Pogba dalam skuad kebangsaan, mereka juga akrab.

"Dia menjanjikan gol, bantuan gol dan mentaliti kemenangan."

Petit percaya Griezmann -- yang berada di belakang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam perebutan Ballon d'Or 2016 -- pasti akan akan menawarkan khidmat cemerlang andai perpindahan itu menjadi kenyataan.

Tambahnya: "Permainan Griezmann semakin berkembang sejak empat tahun lalu.

"Setiap tahun, prestasinya meningkat. Dia mempunyai cita-cita besar secara peribadi dan juga bersama pasukan yang diperkuatkannya.

"Bagi saya, ia akan menjadi pulangan berbaloi buat Manchester United."