SEVILLA 2 LIVERPOOL 1

Perlawanan persahabatan di antara Liverpool dan Sevilla dicemari terjahan keras ke atas Yasser Larouci yang memaksa pemain muda The Reds itu diusung meninggalkan padang di Boston.


Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mengalami kekalahan 1-2 kepada Sevilla, namun keputusan perlawanan pagi tadi dibayangi kekasaran Joris Gnagnon terhadap Larouci.

Dalam aksi di Fenway Park itu, pemain gantian Sevilla, Gnagnon, dilayangkan kad merah ketika permainan bersisa 14 minit ekoran terjahannya ke atas pemain Liverpool berkenaan.

Larouci memerlukan rawatan yang panjang sebelum pemain berusia 18 tahun itu diusung keluar dalam aksi di Amerika Syarikat (AS) itu.

Walaupun tempang kehilangan pemain, kelab LaLiga kendalian Julen Lopetegui itu meraih kemenangan pada minit ke-90 menerusi sentuhan penyudah Alejandro Pozo.

Jaringan itu secara tidak langsung menjadi pemisah kepada kedua-dua pasukan selepas Divock Origi memadamkan gol pembukaan Nolito pada penghujung separuh masa pertama.