Masa depan Antonio Conte di Chelsea menjadi tumpuan selepas syarikat pertaruhan yang mengadakan pertaruhan ke atasnya untuk menjadi pengurus seterusnya yang akan dipecat, telah menarik balik pertaruhan itu.

Francesco Guidolin -- juga berasal dari Itali -- menjadi pengurus pertama yang kehilangan jawatan di Swansea City minggu lalu, namun pertaruhan ke atas Conte yang kononnya bakal menjadi mangsa seterusnya mendorong syarikat pertaruhan, Betway, mengambil tindakan.

Chelsea menegaskan spekulasi itu tidak benar.

Menurut jurucakap Betway, "Pelanggan kami sedang berwaspada selepas pertaruhan telah dilakukan ke atas Antonio Conte yang disebut-sebut menjadi pengurus seterusnya yang bakal kehilangan jawatan.

"Kami telah menarik semula pertaruhan ke atas pemecatan Conte."

Conte mula mengendalikan The Blues sejak awal musim ini selepas membantu skuad Itali mara ke suku akhir Euro 2016.

Bagaimanapun, sejak pembukaan musim ini dengan tiga kemenangan berturut-turut, Chelsea hanya memungut empat daripada 12 mata yang ditawarkan dalam empat perlawanan terakhir, termasuk kekalahan kepada Liverpool dan Arsenal.

Chelsea yang menduduki tangga ketujuh liga akan menyambut kunjungan Leicester City pada Sabtu.