Jose Mourinho tanpa berselindung menegaskan situasi kritikal yang dihadapi barisan depan Manchester United selepas ketiadaan Romelu Lukaku menyebabkan pasukannya tewas 1-0 di tangan Brighton & Hove Albion, awal pagi tadi.

Tanpa Lukaku dan Alexis Sanchez yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan, Anthony Martial dan Marcus Rashford diberikan tugas untuk mengetuai jentera serangan United sambil berpeluang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama menjelang final Piala FA.

Bagaimanapun, kedua-duanya gagal mempamerkan sentuhan yang diharapka, tatkala Rashford hanya mencatat satu percubaan tepat sehingga membuatkan United tersungkur akibat jaringan tunggal Pascal Gross.

Mourinho yang menyaksikan anak buahnya ditundukkan oleh tiga pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris musim ini tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap barisan depan The Red Devils.

“Masih tidak cukup. Pemain yang diberikan tanggungjawab tidak dapat menjalankan tugas dengan baik,” kata Mourinho kepada Sky Sports.

“Apabila pemain sendiri tidak beraksi dengan bagus, ia memberikan kesukaran kepada seluruh pasukan. Mungkin kini anda akan faham mengapa sesetengah pemain jarang bermain seperti yang lain.

“Saya tidak katakan saya kecewa kerana saya mengenali mereka tetapi saya memikirkan kebarangkalian untuk menurunkan mereka selepas ramai orang mempersoalkan mengapa Lukaku sering diturunkan?

“Kini, anda ada jawapannya. Mungkin juga secara individu kami tidak sehebat seperti yang difikirkan dan saya sering menegaskan jika kami menamatkan saingan musim ini di tempat kedua, ia jauh lebih bagus tetapi kini memerlukan empat mata. Ia harus didapatkan,” katanya lagi.

United masih memerlukan empat mata untuk mengesahkan status sebagai naib juara pada musim ini dan Mourinho berasa anak-anak buahnya tidak melihat menamatkan kempen di belakang Manchester City sebagai matlamat utama.

“Secara keseluruhan, disiplin yang ditunjukkan lawan dalam babak pertama amat terpuji dan mereka mempamerkan emosi yang berbeza.

“Saya tidak berjaya menerapkan ke dalam setiap pemain bahawa empat mata sangat penting untuk berada di tempat kedua. Bagi saya, ia sangat penting.”