CRYSTAL PALACE 1 WATFORD 0

Sam Allardyce berasakan kualiti permainan yang dipamerkan oleh Crystal Palace membezakan pasukannya ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Watford.


Jaringan sendiri Troy Deeney pada pertengahan separuh masa kedua menjadi titik kemenangan The Eagles selepas kedua-dua pasukan gagal mencipta banyak peluang.

Kemenangan ini meletakkan Palace empat mata di atas zon penyingkiran dan Allardyce sangat gembira dengan peningkatan yang dipamerkan oleh pasukannya.

"Kini kami telah melakar empat kemenangan dalam enam perlawanan. Ini merupakan perlawanan yang sukar, Watford baru-baru ini menewaskan Arsenal. Kami memberikan tekanan dan ia telah membuahkan hasil," kata Allardyce.

"Kami mengharungi banyak perlawanan pada Hari Krismas dan sambutan Tahun Baru dengan ramai pemain mengalami kecederaan. Kami telah menukar staf kejurulatihan dan hasilnya anda dapat lihatnya sendiri.

"Kami kelihatan lebih mantap di atas padang. Pasukan lawan sukar untuk menembusi kami.

Pengendali Watford, Walter Mazzarri, menyifatkan pasukannya kurang bernasib baik untuk pulang dari Selhurst Park tanpa sebarang mata.

"Kami tidak gembira, terdapat kekasaran yang dilakukan oleh pemain lawan sebelum jaringan sendiri yang dilakukan oleh pemain kami. Kami tidak berhak tewas perlawanan ini," kata Mazzarri.