Pengarah Sukan Inter Milan, Piero Ausilio, menamatkan laporan bahawa Ivan Perisic akan ke Manchester United dalam jendela perpindahan ini.

Pemain Croatia itu kerap dikaitkan akan berpindah ke Old Trafford, dengan United dilaporkan sanggup melabur GBP40 juta ke atas pemain sayap itu.

Ketua jurulatih, Luciano Spalletti, berkata pada minggu lepas, dia akan bersemuka dengan pemain itu sebelum membuat keputusan mengenai perpindahan apabila spekulasi semakin bertiup kencang di mana dia mendesak untuk meninggalkan San Siro.

Bagaimanapun, Ausilio mendakwa mereka tidak menerima tawaran yang memuaskan daripada United dan sama sekali tidak akan melepaskan pemain utama mereka.

"Ia tidak akan berlaku," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Perisic berlatih dengan kami dan setakat ini kami tidak mempertimbangkan sebarang tawaran daripada Manchester United."

Ausilio turut menegaskan sebarang kemungkinan untuk mengikat pemain tengah AS Roma, Radja Nainggolan, juga tipis biarpun pemain Belgium itu berminat untuk bergabung semula dengan Spalletti.

"Saya mengikuti perkembangannya, sama seperti pemain-pemain yang lain," katanya.

"Setahu saya, (bekas Pengarah Sukan Roma) Monchi tidak pernah berniat meletakkan Nainggolan dalam pasaran perpindahan.

"Saya mempunyai kebimbangan tersendiri dan perlu mencari penyelesaiannya. Kami perlu menilai pasukan kami dan terus memantau pasaran."

Dalam perkembangan sama, dia mengesahkan Inter telah membuka rundingan dengan Nice dalam urusan mendapatkan pemain pertahanan, Dalbert.