Bekas pengurus Manchester United, David Moyes, berpendapat prestasi terumbang-ambing Jose Mourinho di Old Trafford membuktikan tempoh kendaliannya di United bukan seburuk seperti yang dicanangkan.

Moyes mengambil alih tampuk pengurusan daripada Sir Alex Ferguson pada 2013, namun hanya bertahan selama lapan bulan berikutan kegagalan kelab itu meraih tiket Liga Juara-Juara.

United yang kemudiannya melantik Louis van Gaal, turut memilih memecat jurulatih dari Belanda itu selepas dua musim yang mengecewakan.

United terus bergelut di bawah kendalian Mourinho musim ini, dan Moyes berasakan senario tersebut meletakkan kegagalannya sebelum ini dalam prespektif berbeza.

"Dari sudut pandangan lain, ia membuktikan Moyes bukan masalahnya," ujar pengurus Sunderland itu seperti yang dilaporkan The Mirror.

"Jawatan di Manchester United adalah tugas berat bagi mana-mana jurulatih untuk dipikul. Sama ada Mourinho, Van Gaal atau Moyes, ia akan sentiasa menjadi satu tugas besar kerana perlu mengisi peranan yang ditinggalkan oleh seorang pengurus yang terbaik sebelumnya.

"Manchester United perlukan keseimbangan, ia adalah sebuah kelab yang mempercayai kemampuan mereka, percaya dengan jurulatih dan sudah pastinya memberikan pengurus mereka masa untuk melakukan tugas dengan betul. Ia sebuah kelab hebat.

"Tempoh saya di sana sudah berakhir dan telah dipikul oleh orang lain. Saya cuma mengatakan ia adalah jawatan hebat. Jose seorang pengurus yang hebat, begitu juga Van Gaal, tapi sesiapa sahaja akan berdepan kesukaran di Manchester United.

"Adakah pergelutan Mourinho dan Van Gaal meletakkan tempoh saya di sana dalam konteks itu? Saya lega kamu mengatakan sedemikian kerana saya sentiasa berpendapat sebegitu.

"Ia memerlukan masa, namun itulah bola sepak."