Penyerang Arsenal, Lucas Perez, berasakan Arsene Wenger akan memilih untuk kekal di Stadium Emirates selepas musim ini.

Wenger berada dalam tekanan besar dengan kontraknya akan tamat dan Piala FA menjadi peluang terakhir untuk Arsenal memenangi trofi dalam musim 2016-17.

Gunners tidak memenangi Liga Perdana Inggeris sejak 200, tetapi Perez percaya hasil yang terbaik untuk kelab akan membawa jurulatih berusia 67 tahun itu menandatangani perjanjian baru.

Wenger telah membuat keputusannya untuk kekal di Arsenal dan walaupun masih belum mengumumkannya secara terbuka, Perez menjangka dia akan terus memainkan peranannya sebagai pengurus.

"Dia adalah ikon dan saya fikir dia akan teruskan," kata Perez kepada Radio Marca.

"Walaupun saya tidak berada dalam kesebelasan utama, saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Wenger. Semua orang menghormatinya. Hubungannya dengan pemain sangat baik dan dia telah berada di sini 20 tahun.

"Saya mahu dia teruskan tetapi itu adalah keputusannya. Dia belum lagi menyampaikan keputusannya kepada pemain atau kelab."

Arsenal jatuh ke tangga keenam dalam liga dengan baki 11 perlawanan tetapi Perez tetap optimis mengenai apa yang ada dalam musim ini dengan aksi separuh akhir Piala FA menentang Manchester City bulan depan juga perlu diberi perhatian.

"Kami bersemangat dengan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah, sesuatu yang mampu dicapai kelab ini dalam kempen lain," tambah bekas penyerang Deportivo La Coruna itu.

"Kami mempunyai dua perlawanan dalam tangan (berbanding Liverpool) dan kami sedang memberi tumpuan terhadap perlawanan yang kami ada serta sabar untuk bermain separuh akhir menentang Manchester City dalam Piala FA."

Wenger hanya memulakan Perez dua kali dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, namun pemain berusia 28 tahun itu akan terus berjuang dan tidak menyimpan dendam terhadap jurulatih Perancis itu.

"Pasukan seperti Arsenal mempunyai pemain yang sangat baik, terutamanya di bahagian serangan," kata pemain nombor 9 kelab. "Jurulatih hanya boleh memilih 11 dan satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan adalah membuktikan dalam peluang yang diberikan.

"Setiap kali saya bermain, saya telah melakukan dengan baik dan ia memberikan saya keyakinan. Saya perlu bersabar dan terus berjuang.

"Ini (perpindahan ke Arsenal) adalah peluang untuk menyertai salah sebuah pasukan terbaik di dunia dan itulah sebabnya saya amat berpuas hati.

"Saya tidak bernasib baik kerana cedera ketika beberapa bulan pertama selepas tiba di Arsenal. Saya kini berasa mampu menunjukkan mengapa Arsenal menandatangani saya."