Perez langsung tiada niat jual Bale

By Staff Writer 9 August 2017 987
Perez langsung tiada niat jual Bale
Presiden Real Madrid, Florentino Perez, tidak berhasrat untuk menjual Gareth Bale dalam usaha untuk mempertahankan gelaran LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) bagi musim 2017-18.

Bekas bintang Tottenham, Bale, telah dikaitkan dengan penghijrahan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menyertai Manchester United apabila terdapat laporan menyatakan Real sedang berusaha mendapatkan bintang sensasi Monaco, Kylian Mbappe.

Pengurus United, Jose Mourinho, secara terbuka telah menyatakan hasratnya untuk mendapatkan Bale jika dia tidak disenaraikan di dalam kesebelasan utama Real dalam aksi Piala Super UEFA, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Bale memulakan kempen bersama Real dengan kemenangan 2-1 ke atas United di Skopje dan Perez menolak sebarang khabar angin bahawa pemain berusia 28 tahun itu bakal meninggalkan Santiago Bernabeu.

"Setiap kemenangan adalah penting buat kami, kami akan cuba melakukannya dalam setiap perlawanan," kata Perez.

"Saya tidak memikirkan untuk menjual Bale, dia adalah seorang pemain yang penting dan salah seorang pemain terbaik di dunia.

"Kami memiliki pemain-pemain yang berkualiti dan idea saya bersama Zidane selepas menjulang Liga Juara-Juara (UCL) adalah mengekalkan pasukan ini."

Bale telah menjaringkan sembilan gol dalam 27 penampilan musim lalu -- musim dia dihimpit masalah kecederaan.

About Author

Staff Writer

Comment