Bintang Chelsea, Eden Hazard memberikan amaran kepada pasukannya supaya terus memberikan fokus pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Antonio Conte kini memiliki kelebihan lima mata di persada liga, tetapi tewas kepada Tottenham 2-1 membuktikan saingan liga masih belum berakhir.

Hazard berkata mereka masih bekerja keras bagi membuat persiapan perlawanan berdepan Leicester City pada Sabtu.

"Kami menyedari saingan di liga sangat sukar - apa-apa sahaja boleh berlaku," kata pemain kebangsaan Belgium itu kepada talkSPORT.

"Kami berada di takhta liga, tetapi pasukan lain juga mempamerkan kualiti yang mantap dan semakin hampir dengan kami.

"Kami perlu sentiasa bersedia menghadapi setiap cabaran yang mendatang.

Hazard membantu Chelsea memenangi takhta liga pada musim 2014-15 sebelum mereka mengakhiri saingan musim lalu di tangga ke-10.

Pemain berusia 26 tahun itu bersimpati buat Leicester, penyandang juara itu yang hanya memiliki kelebihan enam mata daripada zon penyingkiran.

"Ia merupakan situasi yang sanga sukar. Seperti Chelsea musim lalu - kami telah memenangi takhta liga - tetapi musim seterusnya kami menghadapi kesukaran untuk mempertahankan gelaran.

"Mereka juga bersaing di Liga Juara-Juara (UCL) jadi mereka perlu bekerja dua kali ganda berbanding pasukan lain dan kehilangan pemain yang penting seperti N'Golo Kante yang bersama Chelsea musim ini."