PERANCIS 0 IVORY COAST 0

Adrien Rabiot berharap aksi sulungnya bersama Perancis menjadi medan untuk dia melangkah ke cabaran yang lebih besar selepas Perancis diikat tanpa jaringan dengan juara bertahan Piala Negara-Nrgara Afrika, Ivory Coast, dalam perlawanan persahabatan di Lens, awal pagi tadi.


Tonggak Paris Saint-Germain itu diberi peranan utama dan sekalipun terpaksa diusung keluar pada minit ke-78, pemain tengah itu tetap berbangga dapat mewakili negaranya di peringkat senior buat kali pertama.

"Malam ini begitu banyak emosi. Saya sangat gembira disenaraikan dalam kesebelasan utama. Semuanya berjalan lancar sehinggalah saya ditimpa kecederaan," katanya.

"Saya harap ini adalah permulaan bagi cabaran baru dan saya perlu meneruskannya.

"Jurulatih (Didier Deschamps) meminta saya mengulangi persembahan saya di kelab. Ia tugas mudah dengan skuad sebagus ini."

Penggempur Lyon, Nabil Fekir, antara pemain yang gembira diberi kesempatan kembali ke pentas antarabangsa untuk beraksi di Stade Bollaert-Delelis, susulan kecederaan yang meranapkan impiannya untuk bermain dalam Euro 2016.

"Bukan mudah untuk memastikan dapat kembali dalam tempoh yang singkat tapi saya tidak bimbang dengannya. Saya berasa bagus dan cuba memberikan yang terbaik buat pasukan," katanya yang menggantikan Ousmane Dembele selepas waktu rehat.

"Malangnya, kami gagal menjaringkan gol. Kami harus bekerja keras. Kecederaan lampau tidak menghantui saya dan saya cuba bermain dengan bebas."

Skuad Les Bleus tampak kurang menyengat tanpa kehadiran Antoine Griezmann yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Pemain termahal dunia, Paul Pogba, menghadirkan ancaman awal dan aksinya hanya berlangsung selama 45 minit sebelum direhatkan pada babak seterusnya.

Seperti kebiasaannya dalam aksi persahabatan, pertukaran pemain mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan yang mencipta peluang seimbang untuk meraih kemenangan.