Legenda Chelsea, Ray Wilkins, menyifatkan keputusan The Blues untuk menjual Nemanja Matic ke Manchester United adalah satu kesilapan besar yang dilakukan sejak sekian lama.

Pemain tengah Serbia itu menyertai skuad kendalian Jose Mourinho pada Julai lalu dan pantas memberikan impak kepada jentera tengah United.

Wilkins, yang pernah mewakili Chelsea sebagai pemain dan juga pengendali, percaya bahawa penjualan Matic hanya membantu United terus mencabar kejuaraan liga pada musim ini.

“Ia adalah keputusan paling teruk pernah saya saksikan,” kata Wilkins.

“Anda memiliki pemain hebat yang beraksi di bahagian tengah bersama N'Golo Kante, memenangi kejuaraan liga sebelum itu dan tiba-tiba anda menjualnya kepada salah satu, atau mungkin seteru terbesar anda.

“Saya adalah penyokong Chelsea dan setiap kali saya bercakap, saya menggunakan 'kita' dan ia datang dari hati. Saya benar-benar tidak menjangkakannya. Mengapa kita melepaskan Matic?

“Matic menampilkan permainan hebat di United dan anda boleh lihat bagaimana dia membantu Paul Pogba menjadi lebih selesa.”