LIVERPOOL 2 LEEDS UNITED 0

Pemain tengah Brazil dan Liverpool, Lucas Leiva, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pemain Chapecoense yang terbabit dengan nahas kapal terbang, semalam.

Seramai 71 penumpang terbunuh dalam kapal terbang yang membawa pemain dan pegawai pasukan bola sepak Brazil itu yang menuju ke Medellin, Colombia untuk menghadapi pertemuan pertama perlawanan akhir Copa Sudamericana.

Lucas, yang diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan Liverpool dalam kemenangan 2-0 ke atas Leeds United dalam aksi suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield pada awal pagi tadi, mengakui tragedi itu membuatkannya sukarnya memberi tumpuan terhadap permainan.

"Ia kemalangan yang buruk. Saya pernah beraksi bersama beberapa pemain muda (di dalam kapal terbang itu)," kata Lucas kepada Sky Sports.

"Sukar untuk saya beraksi pada malam ini kerana saya mengenali ramai mangsa nahas tersebut.

"Kami berharap keluarga mangsa mendapat sokongan yang sewajarnya dan mangsa bersemadi dengan aman."

Pegawai Colombia mengesahkan nahas itu mengorbankan seramai 71 mangsa di sebalik laporan awal mengaitkan 75 mangsa selepas empat individu didapati tidak menaiki pesawat itu.

Enam individu termasuk pemain Chapecoense, Alan Ruschel, Jackson Follmann dan Helio Hermito Zampier Neto, terselamat daripada tragedi itu dan meraih simpati dari seluruh dunia bola sepak.

Dalam aksi EFL yang berlangsung pagi tadi, Divock Origi meneruskan rentak cemerlangnya dalam kempen itu manakala Ben Woodburn menarik perhatian di Anfield selepas muncul sebagai penjaring termuda dalam sejarah The Reds untuk membantu mereka mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

Leeds, yang kini dibimbing Garry Monk, menyerlah pada babak pertama sehingga memaksa Simon Mignolet bekerja keras untuk menyelamatkan gawangnya.

Namun, Origi mengakhiri penantian gol Liverpool pada minit ke-76 dan lima minit berselang, Woodburn, pada usia 17 tahun 45 hari,menambah bilangan gol buat tuan rumah mengukuhkan kedudukan.

Malah, pada minit ke-83, Woodburn yang membuat penampilan pertama ketika menentang Sunderland dalam aksi liga hujung minggu lalu, hampir menyumbat gol peribadi keduanya tetapi tidak dikira kerana ofsaid.