Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menelan hakikat bahawa penekanan terhadap bahagian pertahanan memberi kesan terhadap daya serangan pasukannya musim ini.

Liverpool tidak tewas dalam kesemua lapan perlawanan liga musim ini, namun kualiti serangan pasukan itu gagal menyamai ketajaman musim lalu.

Mereka sekadar menghimpunkan 15 jaringan sepanjang tempoh tersebut, namun hanya dibolosi sebanyak tiga kali -- berkongsi rekod bolos terendah bersama pendahulu liga, Manchester City.

Menurut Klopp, perkara tersebut berlaku disebabkan perubahan dalam pendekatan yang diterapkan dalam pasukannya musim ini, namun beranggapan pasukannya masih mempamerkan aksi yang cukup baik setakat ini.

"Kami mahu bertahan dengan baik, namun itu bukan bermakna kami tidak berminat dalam corak menyerang," kata Klopp kepada wartawan.

"Ia satu tempoh yang normal dalam proses adaptasi. Kami perlu menyesuaikan diri dengan perkara itu.

"Apabila anda meletakkan lebih tumpuan kepada satu-satu benda, anda akan hilang kelancaran dalam satu benda yang lain.

"Kami mencipta peluang yang mencukupi, masalahnya adalah kami tidak menjaringkan gol ketika mempunyai peluang. Situasinya berbeza berbanding musim lalu.

"Saya tidak kisah tentang itu. Kami sudah memperoleh keputusan yang baik setakat ini dan sentiasa menjaringkan gol.

"Saya sedar kami masih mampu memperbaikinya. Kami perlu meneruskan kestabilan ini."

Liverpool melakukan perubahan dalam corak serangan mereka musim ini dengan banyak memulakan gerakan dari bawah.

Namun, Klopp yang akan membawa pasukannya berdepan Huddesfield Town, malam ini menjelaskan situasi tersebut bergantung kepada lawan yang dihadapi mereka.

"Adakala pasukan lawan mematikan corak menyerang kami dengan permainan bola tinggi. Ia sesuatu yang masuk akal.

"Dalam kebanyakan perlawanan sebelum ini, strategi serangan balas kami sangat baik. Ini adalah lebih penting untuk mengekalkan penguasaan permainan dengan cara itu," tambahnya.