Keengganan Liverpool untuk menyekat perkembangan Dominic Solanke menjadi faktor utama kepada penjualannya kepada Bournemouth, kata pengurus The Reds, Jurgen Klopp.

Solanke menyertai Bournemouth kelmarin menerusi perpindahan bernilai GBP19 juta (RM99 juta) selepas gagal tampil dalam kesebelasan utama buat Liverpool bagi semua kejohanan musim ini.

Bekas penyerang Chelsea itu tiba di Anfield awal musim lalu tetapi hanya menyumbat satu gol daripada 21 penampilan Liga Perdana Inggeris.

Dan Klopp mendedahkan walaupun Liverpool mahu meneruskan perkembangan Solanke, mereka tidak boleh menyekat tuntutan penyerang itu untuk bermain bola sepak.

"Bola sepak adalah satu perniagaan tetapi dalam masa sama turut menitikberatkan tentang pemain," kata Klopp.

"Buat Solanke, ia satu keputusan tepat untuk dia berpindah. Dia tidak bernasib baik apabila mengalami kecederaan tatkala wujud ruang untuknya di dalam pasukan. Dalam masa lain, pasukan penuh dan kami mempunyai pilihan lain.

"Dia berlatih dengan baik tetapi anda tidak boleh meraih keyakinan melalui cara sebegitu, terutama di peringkat umur Solanke. Dia perlu bermain bola sepak.

"Bournemouth memberikan tawaran baik dan ia satu peluang.

"Adakah akan wujud detik di pertengahan tahun nanti yang mampu mengubahnya? Mungkin ya tetapi kami tidak mahu menyekat pemain muda tatkala kami melihat boleh memberikan sesuatu yang lebih baik buat mereka."

Turut mengikut jejak langkah Solanke ke Stadium Vitality adalah Nathaniel Clyne yang dipinjamkan Liverpool untuk tempoh enam bulan.

"Bersama Clyne, mempunyai pilihan sepertinya adalah sesuatu yang bagus," tambah Klopp.

"Apabila saya tiba, dia beraksi sama dalam setiap perlawanan. Dia sangat bagus dan penting buat pasukan ketika itu.

"Kemudian, dia mengalami kecederaan belakang dan tiada siapa tahu bila dia akan pulih.

"Joe Gomez cergas dan Trent Alexander-Arnold hadir. Mempunyai Clyne adalah sesuatu yang baik tetapi dia berada di tahap umur yang memerlukan tempoh beraksi.

"Dia bertanya sama ada boleh pergi dan saya membenarkan kerana kami mempunyai pilihan lain. Anda boleh terus mengekalkan pemain tetapi untuk memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik, mereka perlu kerap beraksi."