Hukuman penggantungan bekas pemain tengah Manchester City, Samir Nasri, kerana melanggar peraturan anti-doping Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) ditingkatkan daripada enam kepada 18 bulan.

Nasri pada asalnya digantung selama enam bulan selepas dia menerima 'rawatan titisan' -- memasukkan cecair ke dalam badan -- di sebuah klinik di Los Angeles pada 2016 dengan UEFA menyatakan ia melanggar peraturan yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Bagaimanapun, rayuan itu bertentangan dengan Etika dan Tatatertib UEFA sehingga mengakibatkan penggantungannya dilanjutkan, seperti yang diumumkan kelmarin.

Larangan itu sepatutnya berakhir pada 1 Julai 2017 tatkala Nasri sempat membuat lapan penampilan bersama kelab Turki, Antalyaspor, pada masa itu.

Nasri, 31, yang kini merupakan ejen bebas, dibenarkan untuk kembali menjalani latihan pada November nanti.

Satu kenyataan oleh UEFA menyebut: "Mengikut pindaan keputusan Badan Kawalan, Etika dan Tatatertib UEFA pada 22 Februari 2018 adalah seperti berikut:

"1. Samir Nasri digantung selama 18 bulan. Penggantungan ini akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2017.

"2. Samir Nasri dibenarkan kembali menjalani latihan dengan mana-mana kelab bola sepak mulai 1 November 2018."

Pasukan doktor yang melakukan rawatan itu yang digelar 'Drip Drops' itu menyiarkan gambar bekas pemain Perancis berkenaan sedang melakukan rawatan itu di Twitter pada Disember 2016.

Ia menjelaskan bahawa dia sedang menerima 'rawatan titisan' Immuniti IV bagi memastikan dia kekal terhidrat dan berada dalam keadaan terbaik dalam tempoh sibuk bersama Sevilla.

Nasri, yang pada waktu itu dipinjamkan ke Sevilla daripada City, memohon UEFA supaya memberinya pengecualian untuk menggunakan kaedah tersebut, sekali gus melepaskannya daripada dikenakan sebarang hukuman.

UEFA kemudian menolak permintaannya manakala Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) turut menyokong keputusan itu pada Disember tahun lalu selepas Nasri membuat rayuan.