Polis Greater Manchester (GMP) telah menahan seorang lelaki kerana mengeluarkan kata-kata perkauman terhadap bintang Manchester City, Raheem Sterling.

Laporan mengatakan pemain itu menjadi mangsa ejeken perkauman dan ditendang ketika turun untuk menjalani latihan menjelang kemenangan 4-1 ke atas Tottenham Hotspur, Ahad lalu

Semalam, GMP mengumumkan tangkapan terhadap insiden di Clayton Lane itu telah dibuat dan perlakuan itu dianggap 'jenayah kebencian'.

Karl Anderson, 29, kini ditahan reman dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manchester dan Salford, hari ini.

Susulan daripada penangkapan itu, Ketua Detektif Inspektor, Paul Walker, berkata: "Tiada toleransi mengenai perkauman di Greater Manchester dan ia tiada tempat dalam masyarakat bertamadun. Kami mengambil serius setiap laporan yang dibuat."

Manchester City, bagaimanapun, masih belum mengulas mengenai penangkapan itu.