AC Milan telah menarik balik tweet mendakwa perjanjian meminjam Gerard Deulofeu dari Everton telah pun selesai susulan timbul laporan bahawa kelab England itu masih belum bersetuju melepaskan pemain itu ke Itali.

Deulofeu telah dikaitkan dengan perpindahan sementara ke San Siro sejak jendela perpindahan Januari dibuka dan Milan menerusi laman sosial media Twitter mengumumkan bahawa proses pinjaman pemain itu telah pun selesai.

Tweet itu menyebut: "@gerardeulofeu sertai #ACMilan secara pinjaman hingga 30/06/2017 #welcomeDeulofeu."

Bagaimanapun, kelab Serie A itu telah pun memadamkan tweet tersebut ekoran wujud laporan di England bahawa Everton masih belum bersetuju untuk melepaskan pemain itu.

Sejak Everton diambil alih pengendali, Ronald Koeman, Jun lalu, Deulofeu jarang mendapat peluang beraksi tatkala hanya membuat empat penampilan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Senario itu mencetuskan perbincangan dengan Milan meskipun kelab Itali itu enggan membayar yuran untuk meminjam pemain itu.