CHELSEA 2 MANCHESTER CITY 1

Pep Guardiola berbangga dengan usaha Manchester City sambil menerima hakikat bahawa pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi mereka semakin pudar berikutan kekalahan 2-1 kepada pendahulu, Chelsea, awal pagi tadi.


Sergio Aguero menyamakan kedudukan buat City selepas Eden Hazard meledak gol awal di Stamford Bridge.

Penjaga gol pelawat, Willy Caballero, kemudian dapat meneka dengan betul untuk menampan sepakan penalti Hazard pada minit ke-35, bagaimanapun pemain antarabangsa Belgium itu tidak mempunyai masalah untuk menolak masuk bola muntah itu.

Jaringan itu membantu The Blues untuk mengekalkan kelebihan tujuh mata ke atas Tottenham Hotspur dan 14 mata melebihi City dengan baki lapan perlawanan lagi.

City, didorong oleh arkitek, David Silva, di bahagian tengah, berusaha untuk mendapatkan jaringan penyamaan sepanjang separuh kedua, dengan John Stones terlepas peluang terbuka dalam masa kecederaan.

Ini merupakan kekalahan liga keenam City musim ini -- kali pertama buat Guardiola dalam karier kejurulatihannya.

"Pemburuan EPL sudah berakhir, kini kami berjuang untuk layak ke Liga Juara-Juara," kata Guardiola kepada BT Sport, dengan pasukannya berada di tangga keempat -- empat mata di hadapan Manchester United dan Arsenal dan telah bermain lebih satu perlawanan.

"Kami bermain dengan baik dalam semua permainan, cuma keputusan kurang berpihak kepada kami musim ini -- kami sering mencipta banyak peluang di dalam kawasan penalti lawan untuk menang, sentiasa melebihi lawan.

"Tetapi saya seorang pengurus yang bertuah untuk bersama pemain-pemain ini. Kami bermain dengan cara kami dan sudah tentu, kami sedih kerana tidak menang, tetapi saya begitu gembira untuk datang ke Stamford Bridge dan memperagakan gaya kami.

"Kami mencipta banyak peluang dan bertahan, kebanyakan masanya adalah baik."

Bos Chelsea, Antonio Conte, muncul pengurus pertama yang menundukkan Guardiola di laman sendiri dan tempat lawan dalam kempen liga musim ini, susulan kemenangan 3-1 di Stadium Etihad pada Disember lalu.

Seperti lazimnya meratap peluang yang gagal disempurnakan, Guardiola juga merujuk kepada keputusan pengadil yang tidak menyebelahi pasukannya tatkala membincangkan insiden penalti.

City dinafikan sepakan penalti pada penghujung perlawanan ketika seri 2-2 di Arsenal Ahad lalu apabila bola terkena tangan Nacho Monreal, dan dalam masa yang sama akur Fernandinho dihukum kerana kekasaran terhadap Pedro.

"Biasanya penalti boleh menjadi titik perbezaan dan saya mempunyai senarai besar tentang itu," katanya.

"Sudah tentu, ia adalah detik utama -- Pedro begitu bijak dalam situasi seperti itu.

"Saya tidak selalu merungut seperti di Arsenal pada minit-minit terakhir, sama ada ia adalah penalti atau tidak, tetapi hari ini ia adalah penalti."