Jurgen Klopp berkata dia enggan berbelanja bagi menyelesaikan benteng Liverpool yang rapuh di sebalik kekalahan mengejut 3-2 mereka kepada Swansea City, minggu lalu.

The Reds hanya menang sekali dalam enam perlawanan -- kemenangan ke atas Plymouth Argyle dalam aksi timbal balik pusingan ketiga Piala FA -- sehingga menjejaskan usaha mereka untuk menggugat Chelsea di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) serta ketinggalan 1-0 secara agregat kepada Southampton menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris (EFL).

Pertahanan goyah menyumbang kepada gol pertama dan ketiga Swansea di Anfield, Sabtu lalu, sementara isu Joel Matip bersama skuad kebangsaan mungkin diheret kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

James Milner terpaksa mengisi peranan bek kiri musim ini manakala Klopp masih menguji Loris Karius dan Simon Mignolet sebagai penjaga gawang pilihan utama tatkala dia bergelut untuk mendapatkan formula tepat untuk mengukuhkan pertahanannya biarpun memiliki barisan serangan yang digeruni.

Namun, Klopp berkata ketiadaan Sadio Mane berikutan komitmen dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan kecederaan yang menimpa Philippe Coutinho selain masalah bertahan adalah puncanya.

"Kami merindui Sadio... kami berasa kehilangan Phil... kami merindui Joel Matip," kata Klopp kepada wartawan menjelang pertemuan kedua EFL dengan The Saints, awal pagi Khamis ini.

"Sebagaimana saya menyukai Sadio, ia bukan bermakna kami dilanda masalah kerana merinduinya.

"Kami membuat beberapa kesilapan, bukan kerana kami tidak menjaringkan banyak gol. Kami menjaringkan cukup gol untuk memenangi perlawanan.

"Anda selalu mengatakan tentang pertahanan mahupun pemain. Saya bercakap sebagai sebuah pasukan secara keseluruhannya.

"Kalau kami hanya perlu mendapatkan seorang pemain untuk menyelesaikan masalah itu, bodohlah saya kalau tak melakukannya, tapi ia bukannya semudah itu.

"Saya sedar masalah yang kami hadapi selepas perayaan Krismas, ia sangat mengecewakan.

"Sebelum perlawanan dengan Swansea, saya lihat kami kembali di landasan sebenar menerusi kecergasan yang dipamerkan semasa sesi latihan.

"Kemudian kami mengharungi perlawanan seperti ini, ia tidak bagus. Namun, ia adalah sebahagian daripada kehidupan.

"Lama kami berkumpul selepas perlawanan itu, jadi saya sudah bersedia untuk menghadapi baki musim ini.

"Kami telah melalui fasa yang sukar."