Pembelian Oscar selesai, Chelsea dibayar GBP60 juta

By Staff Writer 23 December 2016
Pembelian Oscar selesai, Chelsea dibayar GBP60 juta

Chelsea dan Shanghai SIPG telah mencapai persetujuan dalam pembelian pemain tengah Brazil, Oscar, yang akan berhijrah ke Liga Super China, Januari ini dengan nilai pembelian berjumlah GBP60 juta (RM329 juta).

Pemain berusia 25 tahun itu berkata perpindahan ke China sudah pun mencapai kepastian 90 peratus.

Oscar menyertai Chelsea dari Internacional dengan nilai pembelian GBP25 juta (RM137 juta) pada tahun 2012 dan telah pun menyumbang 38 gol dalam 203 penampilan untuk The Blues.

Menurut kenyataan yang dimuat naik ke laman sesawang kelab itu: "Oscar akan berhijrah ke Shanghai sebaik jendela perpindahan Januari dibuka."

Oscar, yang gagal membarisi kesebelasan utama sejak pelantikan Antonio Conte selaku pengurus Oktober lalu, akan digandingkan dengan bekas pengendali Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas di Shanghai.

Dalam tempoh empat tahun di Stamford Bridge, Oscar telah menjuarai Liga Perdana Inggeris, Liga Europa dan Piala Liga.

Dia dilaporkan bakal menerima bayaran GBP400,000 (RM2.1 juta) seminggu dan harga pembelian tersebut meletakkan dirinya di kedudukan ketujuh selaku pemain termahal dunia.

Minggu lalu, Conte berkata perbelanjaan besar oleh kelab di China bakal membawa bahaya terhadap setiap kelab di dunia.

Bekas penyerang Manchester City, Carlos Teves, dikhabarkan bakal menjadi pemain menerima bayaran paling tinggi di dunia jika dia bersetuju berhijrah ke Shanghai Shenhua yang bersedia menawarkan gaji GBP615, 000 (RM3.4juta) seminggu. 

About Author

Staff Writer

Comment