Pemain yang harus dipersalahkan -- Merson pertahan Wenger

By Amirul Azreen 18 February 2017
Pemain yang harus dipersalahkan -- Merson pertahan Wenger

Gagal untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan akan menyebabkan pemain bintang, Mesut Ozil dan Alexis Sanchez, meninggalkan Arsenal, kata bekas pemain, Paul Merson.

Merson turut percaya Arsene Wenger bagaikan hilang punca buat kali pertama sejak memegang jawatan pengurus The Gunners 20 tahun lalu.

Arsenal bakal tersingkir daripada pusingan 16 buat UCL kali ketujuh berturut-turut selepas dimalukan 5-1 oleh Bayern Munich di Allianz Arena.

The Gunners -- yang kini menduduki tangga keempat dalam Liga Perdana Inggeris -- turut bergelut untuk kembali ke saingan berprestij di Eropah itu, dengan Liverpool dan Manchester United mengekori rapat di belakang.

Jika Arsenal gagal menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik, Merson menjangkakan bekas majikannya itu akan memerlukan masa beberapa tahun untuk kembali bangkit.

"Jika mereka gagal mara ke UCL musim depan, mereka hanya akan menjadi pasukan yang menghuni pertengahan liga buat beberapa tahun akan datang," dia memberitahu Sky Sports.

"Sanchez akan berhijrah dan Ozil juga tiada sebab untuk kekal. Mereka memiliki ramai pemain yang telah lama berkhidmat di Emirates.

"Saya juga berasakan tidak ada pemain terbaik dunia yang mahu menyertai mereka.

"Man City, Man United, Chelsea, Liverpool sudah tentu akan membuat pembelian. Tidak semena-mena Arsenal akan ketinggalan."

Merson turut berpendapat ini adalah kali pertama Wenger kelihatan hilang arah, namun beranggapan pemain yang harus dipersalahkan.

Dia menambah: "Saya tahu kisah yang sama berulang beberapa tahun ini tetapi ketika tewas kepada Bayern malam itu, itu adalah kali pertama saya melihat Wenger tidak keruan.

"Tetapi setiap pemain yang mengecewakan dia. Wenger meletakkan kepercayaan kepada mereka tetapi mereka gagal beraksi dengan baik. 

"Mereka ini yang mengecewakan tetapi Wenger yang dipersalahkan."

About Author

Amirul Azreen

Comment